Posts tagged ‘Sinopsis Congkak’
Permainan Ahmad Idham dalam Congkak
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
FILEM Jangan Pandang Belakang (JPB) terbitan Metrowealth telah berjaya menaikkan nama Ahmad Idham sebagai pengarah dan pelakon muda berbakat besar, Pierre Andre sebagai penulis skripnya.

Filem yang berjaya mengaut kutipan hampir RM7 juta itu telah membuktikan bahawa skrip dan jalan cerita yang ringkas tetapi padat berjaya mempengaruhi penonton pelbagai latar belakang.
Kini sebuah lagi filem seram terbitan Metrowealth (MIG), Congkak sudah pun selesai penggambaran. Masih lagi mengekalkan Ahmad Idham di kerusi pengarah sementara skrip dan lakon layarnya pula, hasil gabungan Ahmad Idham dan Pierre Andre.
Ketika ditemui di lokasi penggambaran filem tersebut di Chalet Kemensah, Hulu Kelang, Selangor, Ahmad Idham menjelaskan, Congkak tetap mengujinya sebagai pengarah meskipun JPB telah membuktikan kehebatannya mengarahkan filem seram.
“Kalau dalam JPB, jalan ceritanya mengisahkan tentang saka dan cara mengubatinya, tetapi kali ini, saya mengambil kisah permainan tradisional Melayu yang mungkin kita sendiri tidak tahu kisah di sebaliknya.
“Saya banyak melakukan penyelidikan dan juga menemubual orang-orang tua di kampung bertanyakan tentang congkak. Malah, Pierre Andre juga melakukan penyelidikannya sendiri dan lahirlah skrip hasil nukilannya. Hasil gabungan saya dan dia, maka kami realisasikan mitos itu dalam filem Congkak dengan sebaik mungkin,” kata Idham.
Tambahnya, belum ada lagi filem Melayu yang mengetengahkan kisah permainan tradisional Melayu dan dalam filem ini, dia cuba masukkan unsur mistik dan misteri yang menyelubungi permainan congkak itu.
Ahmad Idham yang pernah merangkul anugerah Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Mr. Cinderella itu juga berkata, apa yang ditampilkan dalam filem Congkak adalah berlainan dengan filem seram yang sedia ada.
“Penonton sekarang sudah semakin bijak. Jika kita sering tampilkan filem seram yang menunjukkan imej hantu, mereka pasti akan membandingkan dengan filem-filem seram asing yang lain,” ujarnya.
Keistimewaan filem seramnya kali ini, kata Ahmad Idham, adalah intipatinya yang dekat kepada kaum Melayu dan masyarakat Malaysia khususnya.
Identiti sendiri
“Kita perlu ada identiti sendiri agar dunia luar tahu filem seram kita adalah asli dan tidak mengikut filem seram yang sudah diterbitkan. Malah, apa yang membanggakan saya, kini kaum lain juga mula menghargai filem Melayu dan sanggup mengeluarkan wang menonton di pawagam,” jelasnya bersungguh.
Ketika ditanya mengapakah Riezman Khuzaimi dan Nanu Baharuddin menjadi pilihannya menerajui filem ini, Idham berkata, ciri-ciri bapa dan ibu terdapat pada kedua-dua pelakon itu.
“Riezman dan Nanu mempunyai chemistry yang kuat dan saya lihat mereka sungguh serasi sebagaimana dalam filem Waris Jari Hantu. Mungkin ramai yang mempertikaikan mengapa memilih pelakon yang tiada nilai komersial.
“Zaman sekarang sudah berbeza. Penonton memandang pada jalan cerita dan skrip. Ada juga filem yang mempertaruhkan bintang popular, tetapi tidak pun membuat kutipan box-office. Lihat sahaja kejayaan JPB. Kalau hendak ikutkan, Pierre Andre tidaklah popular tetapi kerana jalan ceritanya menarik, filem itu mampu mengutip hampir RM7 juta,” kata Idham atau nama penuhnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzzri.
Ditanya adakah Congkak akan menggunakan teknik kesan khas teknologi imej janaan komputer (CGI), dia menjelaskan ada beberapa adegan yang memerlukan teknik itu bagi menambahkan lagi rasa seram kepada penonton.
“Antara adegan CGI yang akan digunakan adalah adegan di mana bumi terbelah dan juga mewujudkan efek seram pada lembaga penunggu itu yang dilakonkan oleh Ruminah Sidek,” katanya.
Komen Terbaru